Tuesday, July 24, 2007

Pampasan Tudung

Wanita dipecat kerana bertudung terima pampasan

PHOENIX, Alabama – Sebuah juri persekutuan mengarahkan syarikat kereta sewa, Alamo Rent A Car membayar pampasan RM977,976 (AS$287,640) kepada seorang wanita yang dipecat kerana memakai tudung sewaktu bulan Ramadan.
Pemecatan Bilan Nur, 27, berlaku hanya empat bulan selepas serangan 11 September 2001.
Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Sama Rata (EEOC) memfailkan saman terhadap syarikat itu kerana apa yang disifatkannya sebagai “tindak balas pasca 11 September.”
Suruhanjaya persekutuan itu mendakwa Bilan dipecat disebabkan kepercayaan agamanya dan tindakan itu menyalahi Akta Hak-Hak Sivil 1964.
Hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS), Roslyn O. Silver tahun lalu memutuskan, kerajaan telah membuktikan berlakunya diskriminasi agama ke atas Bilan.
Alamo pula tidak mengemukakan bukti ia mengambil langkah sewajarnya bagi membolehkan Bilan mengamalkan kepercayaan agamanya sebelum syarikat itu memecatnya, kata Silver.
Berikutan keputusan mahkamah itu, juri dalam perbicaraan yang berakhir kelmarin hanya memutuskan jumlah ganti rugi yang patut dibayar, kata peguam wilayah bagi EEOC, Mary Jo O’Neill.
Selepas perbicaraan tiga hari itu, juri mengarahkan pembayaran tunggakan gaji RM73,576 (AS$21,640) kepada wanita kelahiran Somalia itu selain ganti rugi pampasan RM54,400 (AS$16,000) dan ganti rugi punitif RM850,000 (AS$250,000).
Bilan yang datang ke AS pada 1998 diambil oleh Alamo sebagai ejen sewa di pejabatnya di Phoenix pada November 1999.
Prestasi kerjanya disifatkan sebagai “baik” sehinggalah peristiwa yang membawa kepada pemecatannya itu.
– AP

No comments: